BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Muhammad Akmal beri keterangan selama 2 jam

KUALA LUMPUR – “Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya tidak akan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.”

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata demikian sejurus selesai proses mengambil keterangan beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau dipanggil memberi keterangan berhubung demonstrasi berkaitan isu Jalur Gemilang di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut peguam yang mewakilinya, Aizat Azam, anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rakaman percakapan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu pihak itu melengkapkan hasil siasatan mereka.

Menurutnya, rakaman keterangan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 susulan dua laporan polis berkenaan himpunan Solidariti Jalur Gemilang.

“Soalan semua dijawab, lebih kurang 80 soalan (ditanya). Beliau (Dr Muhamad Akmal) tidak akan lari dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa jua perkara, serta sentiasa memberikan kerjasama untuk pastikan sebarang proses undang-undang sepertimana termaktub dalam negara ini akan sentiasa dipatuhi,” katanya pada sidang media, awal pagi tadi.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau mengambil tanggungjawab dan memberikan kerjasama dalam proses itu serta menyifatkan dirinya juga tidak takut kerana tindakan dilakukan itu adalah untuk memartabatkan kehormatan negara.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya tidak akan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar, maka saya harap rakyat boleh sedar bahawa orang yang buat kesalahan dianggap hero, tapi bila kita mahu memperbetulkan keadaan dianggap sebagai salah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut berterima kasih kepada pihak polis kerana melayaninya dengan baik sepanjang proses rakaman percakapan berkenaan yang bermula kira-kira pukul 11 malam dan berlangsung selama dua jam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button