33 penunggang motosikal lawan arus di Jambatan Kedua Pulau Pinang ditahan polis
NIBONG TEBAL – Polis menahan 33 penunggang motosikal, termasuk seorang warga asing, ddalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Kilometer (KM) 3.8 Jambatan Kedua Pulau Pinang menghala ke Batu Kawan, di sini, awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, semua lelaki terbabit didapati menunggang motosikal di lorong kereta di jambatan itu ketika operasi dijalankan.
Justeru, katanya, penunggang motosikal terbabit telah diarahkan berhenti kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, mereka sebaliknya berpatah balik ke arah Batu Maung dengan menunggang motosikal secara melawan arus.
“Tindakan itu amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Hasil tindakan pantas pasukan operasi, seramai 33 lelaki berusia dalam lingkungan 16 hingga 27 tahun terdiri daripada 32 warga tempatan dan seorang warga asing, ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Dalam operasi itu, Jay January berkata, pihaknya turut menyita 51 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sepanjang operasi itu, pemeriksaan telah dilakukan terhadap 110 motosikal dan sebanyak 74 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Pada masa sama, JSPT Bukit Aman dan Pulau Pinang serta pihak PLUS turut menjalankan operasi bersepadu motosikal zon utara di daerah Seberang Perai Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Jay menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi menumpaskan samseng jalanan di lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan tidak terbabit sebarang aktiviti lumba haram yang tidak memberikan sebarang faedah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






