
MK ATB 2 gagalkan cubaan seludup 10,375 liter diesel di Pulau Bum Bum
SEMPORNA – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 10,375 liter petrol oleh enam lelaki warga Filipina di perairan Pulau Bum Bum, di sini, Sabtu lalu.
Panglima MK ATB 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin berkata, tindakan itu dilakukan Pasukan Quick Reaction Force (QRF) daripada 11 Rejimen Gerak Khas selepas mengesan dua bot jongkong yang mencurigakan pada pukul 8.50 malam.
“Pemeriksaan mendapati enam suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
“Sebanyak 10,375 liter petrol ditemui disimpan dalam 415 tong plastik berkapasiti 25 liter setiap satu, selain satu unit tong gas cecair petroleum (LPG).
“Semua barang kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar untuk dijual di negara jiran,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Wan Edenin berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot jongkong dan empat unit enjin sangkut dianggarkan bernilai RM79,268
“Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu adalah bukti komitmen MK ATB 2 dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara daripada ancaman penyeludupan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |