Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Mimpi ngeri di Putra Heights, lelaki kongsi pengalaman selamatkan ahli keluarga

Khair meredah masuk ke kawasan rumah abangnya yang terletak 50 meter dari lokasi kebakaran

SEORANG lelaki berkongsi pengalaman ketika menyelamatkan keluarga abangnya di rumah yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Mohd Khair dalam hantarannya malam tadi berkata, beliau menerima berita mengenai kejadian berhampiran lokasi rumah abangnya daripada anaknya yang melihat posting melalui TikTok.

“Ayah, ada kebakaran besar dekat Putra Heights. Itu area rumah Wak Din kan?” tanya anaknya Alisya yang terus mencetuskan keresahannya.

Tanpa berlengah, Mohd Khair meminta Alisya untuk berkongsi pautan siaran langsung itu ke dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Namun, tiada seorang pun yang membalas.

Dalam sekelip mata, panggilan telefon daripada adik bongsunya memecahkan kesunyian.

Suaranya cemas. “Abang Khair, tolong Abang Din cepat!! Rumah diorang dah nak terbakar!” Tanpa berfikir panjang, dia bersama abang ipar dan anak saudara segera bergegas ke Putra Heights dengan satu harapan—untuk menyelamatkan apa sahaja yang boleh.

Setibanya di lokasi, api yang marak sudah cukup untuk membuatkan Khair ketakutan walaupun masih berada di dalam kereta.

Kawasan rumah abangnya hanya terletak kira-kira 50 meter dari titik letupan—satu jarak yang terlalu dekat dengan bencana.

Ketika itu pihak bomba telah membuat sekatan jalan, tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan tersebut.

“Tak boleh masuk, bahaya! Api terlalu panas, nanti tayar kereta abang boleh meletup,” kata seorang anggota bomba.

Selepas merayu, bomba membenarkannya seorang sahaja masuk ke kawasan kebakaran dengan berjalan kaki.

Dia cuba mendapatkan maklumat mengenai abangnya dan keluarga, tetapi semua jalan ke arah rumah itu telah ditutup.

Akhirnya, Khair mendapat tahu bahawa tiga ahli keluarga—kakak ipar, anak saudara (Ayol), dan nenek (Uwan)— sedang berlindung di Masjid Nurul Iman.

“Saya bergegas ke sana dan pemandangan yang menyambut saya sungguh menyayat hati. Ayol menangis kesakitan, tangannya melecur.

“Uwan yang berusia 85 tahun terpaksa menahan luka melecur di belakang badannya. Kakak ipar saya juga mengalami kecederaan akibat bahang api yang melampau.

Dalam keadaan huru-hara itu, Khair menerima satu lagi berita yang mencemaskan—abangnya bersama anak sulung, isteri dan cucunya telah dihantar ke Hospital Serdang kerana kecederaan mereka lebih parah.

Namun, anak kedua dan menantunya masih belum ditemui.

Melihat keadaan ahli keluarga yang cedera parah, dia membuat keputusan untuk membawa mereka ke hospital dengan segera.

Khair meminta bantuan penduduk kampung untuk mengangkat mereka masuk ke dalam kereta.

“Ketika inilah YB Abbas Azmi, ADUN Seri Serdang, muncul dan menawarkan bantuan.

“Kami baru bergerak kira-kira 250 meter apabila sebuah ambulans tiba.

Kedudukan rumah milik abang Khair dari lokasi pusat letusan saluran gas di Putra Heights.

“Namun, harapan saya runtuh apabila mereka menolak untuk membawa keluarga saya ke hospital dengan alasan prosedur yang mewajibkan mangsa dihantar ke pusat pemindahan terlebih dahulu,” luahnya.

Katanya, ketika kemarahan mula memuncak, YB Abbas mengambil inisiatif berbincang dengan pihak ambulans.

Selepas beberapa perbincangan, akhirnya mereka bersetuju membawa ahli keluarga saya terus ke hospital.

Sesampainya di sana, Khair mendapat tahu bahawa anak kedua abangnya dan menantunya sudah pun dihantar ke hospital lebih awal.

Syukur Alhamdulillah, semua telah selamat walaupun dalam keadaan cedera.

Menurut Khair tragedi itu tidak hanya meninggalkan parut pada tubuh tetapi juga pada emosi dan jiwa.

Abangnya mengalami luka melecur di kaki dan belakang badan. Kakak ipar dan anak saudaranya pula mengalami kecederaan yang lebih serius sehingga ada yang memerlukan pembedahan pemindahan kulit.

“Paling menyayat hati, cucu mereka yang berusia empat tahun juga tidak terlepas daripada kecederaan,” katanya.

Ketika menyaksikan sendiri bagaimana api boleh mengubah kehidupan dalam sekelip mata, saya terfikir—bagaimana dengan masa depan mereka?

Luah Khair, rumah yang musnah bukan sekadar bangunan, tetapi sebuah tempat yang menyimpan memori dan kehidupan sekeluarga.

Keadaan rumah milik abang Khair yang musnah dalam kebakaran letusan saluran gas di Putra Heights, kelmarin.

“Mereka sepatutnya menikmati hari-hari persaraan dengan tenang, tetapi kini mereka terpaksa memulakan kehidupan dari kosong.

“Tragedi ini menuntut siasatan segera untuk memastikan keadilan bagi mangsa. Pihak berwajib perlu mengambil langkah yang lebih ketat dalam pemantauan dan kawal selia keselamatan bagi mengelakkan insiden serupa daripada berulang.

“Apa yang lebih penting, mangsa memerlukan bantuan segera untuk meneruskan kehidupan—sama ada dalam bentuk bantuan kewangan, tempat perlindungan sementara, atau jaminan pembinaan semula rumah mereka,” luahnya dalam hantaran yang dikongsi lebih 630 kali itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button