ASEAN: MHO gesa Malaysia ketuai usaha banteras jenayah di rantau ini
PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan Malaysia mengetuai usaha serantau membanteras jenayah pemerdagangan manusia, khususnya melibatkan rakyat negara ini.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pelantikan tersebut merupakan peluang penting untuk membawa isu kemanusiaan yang mendesak ke peringkat tertinggi, termasuk kes rakyat Malaysia yang diculik, diperdaya dan dieksploitasi di luar negara.
“MHO menerima pelbagai aduan dan laporan berhubung rakyat Malaysia yang diculik, diperdaya dan dibawa keluar ke negara-negara seperti Kemboja, Laos dan Myanmar melalui janji palsu pekerjaan.

“Sebaik tiba di negara-negara tersebut, mangsa bukan sahaja dipaksa bekerja dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, malah turut dieksploitasi secara fizikal dan mental.
“Ada juga yang dikurung dan diseksa tanpa sebarang peluang untuk melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, MHO menggesa kerajaan Malaysia agar mengetuai inisiatif serantau untuk mewujudkan pasukan tindakan khas ASEAN yang boleh menyelaraskan siasatan, penyelamatan dan pemulangan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia.

Dalam masa sama, MHO mencadangkan supaya protokol dan perjanjian ASEAN sedia ada diperkasakan, termasuk memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan rentas sempadan dan memperhebatkan pertukaran maklumat antara negara-negara anggota.
Hishamuddin turut berkata, terdapat keperluan untuk tindakan diplomatik yang lebih agresif demi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa di luar negara mendapat pembelaan sewajarnya.
“Masih ramai rakyat Malaysia yang terperangkap, dikurung dan ditahan tanpa peluang untuk dibebaskan kerana terjerat dengan tipu daya sindiket penipuan,” katanya lagi.
MHO juga menggesa semua negara anggota ASEAN memberikan komitmen penuh untuk menutup segera semua pusat penipuan atau ‘scam centres’ yang dikenal pasti beroperasi di wilayah masing-masing.
Menurutnya, pusat-pusat itu tidak wajar dibiarkan terus wujud kerana ia membahayakan nyawa serta kesejahteraan rakyat di rantau ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin menyarankan agar ASEAN memberikan sokongan padu terhadap usaha membawa pulang mangsa-mangsa yang masih terperangkap, terutama di Myanmar, Laos dan Kemboja.
“Tindakan tegas, segera dan berteraskan nilai kemanusiaan amat diperlukan agar mereka dapat diselamatkan secepat mungkin,” katanya lagi.
Beliau berkata, kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mampu memainkan peranan penting dalam merangka dasar bersama, memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan menyelaras tindakan kolektif bagi membanteras jenayah pemerdagangan manusia secara menyeluruh dan berkesan.
Tambah beliau, MHO yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN dapat melaksanakan inisiatif-inisiatif yang lebih konkrit demi keadilan, keselamatan dan maruah rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN yang menjadi mangsa kepada jenayah yang kejam ini.
MHO turut menyerahkan memorandum dan maklumat melibatkan 28 rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Myanmar dan Kemboja untuk tindakan Wisma Putra.
Dokumen tersebut diterima oleh Setiausaha Bahagian Konsular, Datuk Ali Selamat pada pukul 11.00 pagi di pintu masuk Wisma Putra.
Turut hadir, 28 keluarga mangsa yang menyerahkan maklumat berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


