
Medan selera warga asing digempur, 58 ditahan Imigresen
PUCHONG – Sebuah medan selera yang dipercayai diusahakan oleh warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Pusat Bandar Puchong di sini, kelmarin.
Serbuan yang dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu itu mendapati premis berkeluasan 1.6 hektar beroperasi secara haram, dipercayai dikuasai warga Myanmar dan Bangladesh yang berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh serta pemegang kad pelarian UNHCR.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 95 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk JIM, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Bahagian ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dikerahkan dalam serbuan itu.
“Hasil pemeriksaan, seramai 102 individu diperiksa, membabitkan warganegara asing dan tempatan. Daripada jumlah itu, 58 warga asing ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki India dan seorang lelaki Vietnam,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
“Kesemua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |