BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Identiti mayat ditemui di Bangsar disahkan lelaki warga UK hilang

KUALA LUMPUR – Identiti mayat lelaki yang ditemui di sebuah tapak pembinaan di Bangsar Hill Park, di sini, semalam disahkan lelaki warga United Kingdom (UK) yang dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berdasarkan pengecaman mayat yang dibuat oleh keluarga mangsa.

“Mayat telah dikenal pasti oleh ahli keluarga iaitu bapa saudara si mati berdasarkan tatu pada tubuh badan mangsa.

“Disahkan mayat tersebut adalah orang hilang yang telah dilaporkan pada 2 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di bahagian ruang lif sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar, kira-kira pukul 4.30 petang.

Mayat lelaki tersebut telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan dibawa ke Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.

Rusdi berkata, hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa akibat kecederaan pada dada disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sebelum ini, seorang lelaki UK dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu.

Mangsa, Jordan Johnson-Doyle yang berusia 25 tahun kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar.

Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button