
Bekas finalis MasterChef, dipenjara atas kesalahan membunuh
KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 34 tahun terhadap bekas finalis MasterChef Malaysia dan bekas suaminya selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia.
Kesalahan itu dilakukan antara 8 hingga 11 Disember 2021 di kediaman mereka di Amber Tower, Penampang.
Tertuduh, Etiqah Siti Noorashikeen Sulang, 37 dan Mohammad Ambree Yunos, 44, disabitkan atas kesalahan membunuh mangsa secara bersama.
Hakim Lim Hock Leng dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kecederaan yang dialami mangsa adalah hasil perbuatan yang disengajakan oleh kedua-dua tertuduh.
“Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Hukuman penjara terhadap kedua-duanya diperintahkan bermula serta-merta,” katanya ketika membacakan keputusan.
Ambree dijatuhi 12 sebatan manakala Etiqah dikecualikan atas faktor jantina.
“Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan bagi pesalah lelaki,” jelasnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus, memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.
“Kes ini memperlihatkan kekejaman yang mengejutkan negara dan mencerminkan penderaan berterusan terhadap mangsa.
“Mangsa merupakan wanita muda yang merantau mencari rezeki secara jujur ketika pandemik. Namun, dia kehilangan nyawa di tempat dia sepatutnya dilindungi,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa didera setiap hari, tidak dibayar gaji serta dinafikan hak untuk pulang ke negara asal.
Kes itu mendapat perhatian umum melibatkan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja migran yang akhirnya membawa kepada kematian tragis.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |