Maritim Malaysia tumpas cubaan seludup arnab guna bot
PENGKALAN BALAK – Cubaan menyeludup 10 ekor arnab menggunakan bot gentian kaca gagal apabila taktik itu berjaya dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam serbuan di perairan Pantai Pengkalan Balak, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, operasi pada pukul 12.10 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan Ibu Pejabat Maritim Putrajaya.
Menurutnya, pasukan operasi darat dan laut dikerah ke lokasi selepas mengesan pergerakan mencurigakan sebelum menemui tiga sangkar berisi arnab yang ditinggalkan di tepi pantai.
“Siasatan awal mendapati arnab-arnab itu dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini tanpa melalui prosedur sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penyeludup dipercayai bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Mereka menggunakan bot gentian kaca dengan enjin sangkut 60 kuasa kuda untuk mengelak daripada ditahan,” katanya.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,000 dan semua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








