JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia tahan vesel nelayan tempatan langgar syarat lesen

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C selepas didapati melanggar syarat sah lesen ketika pemeriksaan di selatan Tanjung Lanting, Pulau Tioman, pada petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel berkenaan dikesan oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Makmur dan Operasi Tiris sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong warga tempatan bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 27 hingga 52 tahun berada di atas vesel tersebut.

“Semakan dokumen mendapati sebahagian kru memiliki dokumen pengenalan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Center for Arakan Refugees, selain pasport Myanmar serta dokumen pendaftaran bot.

“Bagaimanapun, vesel berkenaan gagal mengemukakan permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Vesel bersama tekong, kru, peralatan menangkap ikan serta hasil laut campuran seberat kira-kira 200 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam membanteras sebarang aktiviti perikanan yang melanggar undang-undang serta menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan dan syarat lesen yang ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button