Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia rampas 2 kg daun ganja segar di perairan Langkawi

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup daun ganja segar seberat dua kilogram dalam rondaan di utara Pulau Langgun di sini, malam semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dalam satu kenyataan berkata, daun ganja yang dianggarkan bernilai RM6,000 itu dipercayai cuba dibawa masuk dari Thailand dan ditemui di kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langkawi.

Beliau berkata, dalam rondaan pada pukul 10 malam itu, sebuah bot gentian kaca dikesan bergerak laju dan bertindak mencampakkan sebuah tong bewarna kuning ke dalam laut.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak menukar haluan dan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.

“Hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katannya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Susulan itu kata Romli, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah merangka pelan tindakan bagi menangani kegiatan penyeludupan dadah daripada berleluasa.

“Aset-aset Maritim Malaysia telah diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa selain meningkatkan intipan, rondaan dan kawalan di lokasi panas (hot spot) serta melaksanakan operasi-operasi khas bersama Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim.

“Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan turut diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum,” katanya.

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button