
Mangsa culik disembunyikan dalam beg pakaian
KUALA LUMPUR – Mangsa culik berusia 16 tahun yang dilarikan di Uptown Avenue, Seremban 2, Negeri Sembilan Khamis lalu, disembunyikan di dalam beg pakaian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, taktik itu digunakan penjenayah dipercayai bagi mengelakkan mangsa dikesan dipindahkan dari kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di mana mangsa disorokkan.
Tambahnya, siasatan mendapati penculikan didalangi seorang suspek wanita berusia 31 tahun yang turut ditahan bersama lima lagi suspek, semalam.
Kesemua suspek ditahan di Negeri Sembilan dan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun.
Difahamkan, seorang lagi suspek masih dalam buruan.
Menurut Suhaily, dalam kejadian 10 April lalu itu, mangsa bersama ibunya pergi ke sebuah salun dan remaja itu keluar dari salun untuk ke sebuah kedai serbaneka berhampiran.
“Semasa menuju ke kedai serbaneka, mangsa diculik seorang lelaki yang memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum memecut dari lokasi dan menghilangkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian culik, ibu mangsa masih berada di dalam salun kerana sedang membuat bayaran.
“Ibu mangsa memaklumkan kejadian kepada bapanya (datuk mangsa) sebelum lelaki itu buat laporan polis. Tidak lama kemudian, ibu mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menuntut wang tebusan RM2 juta bagi menjamin keselamatan anaknya,” jelasnya.
Beliau kemudian berkata, mangsa dibebaskan sehari selepas penculikan sebaik keluarga membayar wang tebusan RM280,000 bersama beberapa utas rantai emas.
“Suspek terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan mengambil wang tebusan dan satu lagi kumpulan, melepaskan mangsa sebaik wang tebusan dibayar.
“Mereka mempunyai pengetahuan berkaitan dengan perihal penculikan. Bagaimanapun, kita sedang semak lanjut sama ada kumpulan ini ada terbabit kes penculikan lain,” katanya lagi.
Katanya, susulan tangkapan semalam, polis berjaya menemukan semula wang tunai berjumlah RM180,000 serta beberapa barang kemas.
“Enam suspek terbabit direman selama 14 hari ini untuk siasatan lanjut, dan hasil soal siasat awal mendapati wang RM100,000 sudah pun dibelanjakan suspek,” katanya.
Ketika ditanya mengenai seorang suspek yang ditembak mati di Klang, semalam, Mohd Shuhaily berkata, polis percaya suspek cuba menjauhkan diri daripada ahli kumpulan lain selepas menerima wang tebusan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |