
Mahkamah tolak permohonan peguam semak keputusan hantaran di Facebook
GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman seorang peguam terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa menyebabkan hantaran Facebook miliknya disekat pada 2024.
Dr Shamsher Singh Thind memfailkan permohonan untuk membatalkan permintaan pentadbiran MCMC yang mengakibatkan hantaran itu tidak dapat diakses pengguna di Malaysia sejak Mei 2024.
Beliau mendakwa tindakan tersebut melanggar kebebasan bersuara dan meminta mahkamah mengisytiharkan tindakan MCMC sebagai tidak sah serta mengarahkan suruhanjaya itu menarik balik arahan kepada Facebook.
Hakim Anand Ponnudurai memutuskan bahawa sekatan terhadap hantaran tersebut dilakukan oleh Facebook dan bukan MCMC, menjadikan tindakan itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
“MCMC hanya membuat permintaan pentadbiran untuk tindakan dan ia bukan keputusan yang boleh disemak oleh mahkamah,” memetik laporan Free Malaysia Today.
Hakim turut menjelaskan bahawa permintaan MCMC tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk dikuatkuasakan, malah sebarang tindakan lanjut sepatutnya difokuskan terhadap Facebook melalui mahkamah sivil.
Shamsher Singh berkata, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
“Keputusan itu bukan kerana permintaan undang-undang itu sah atau saya salah menulis hantaran tersebut, tetapi kerana ia dianggap hanya sebagai permintaan dan bukan keputusan yang tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Saya menerima keputusan ini dan tidak melihat sebarang kesilapan dalam penghakiman tersebut,” memetik laporan FMT
Beliau turut berkata, permohonan peguam negara untuk kos ditolak oleh mahkamah.
Keputusan itu sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai peranan dan had kuasa MCMC dalam mengurus kandungan digital serta tindakan platform media sosial dalam menangani sekatan kandungan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |