
Mahkamah Tinggi KL lepas tanpa bebas Najib, Irwan Siregar tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah daripada enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Keputusan itu dibuat selepas hakim membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul difailkan kedua-dua tertuduh hari ini.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya berkata, berdasarkan fakta dan hal keadaan kes, mahkamah menggunakan kuasa sedia ada, untuk tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd. Irwan) dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan tersebut.
“Alasan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan iaitu yang yang pertama, pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah. Kedua, perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh menuduh kedua-dua tertuduh semula.
“Ketiga, kes ini didaftarkan pada tahun 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,” kata Hakim itu.
Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada September 2021 telah tertangguh beberapa kali antaranya bagi memberi laluan kepada dua kes iaitu kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Kali terakhir perbicaraan ditangguhkan ada pada Jun lalu yang mana ia disebabkan beberapa dokumen penting yang dirujuk oleh saksi-saksi masih belum diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






