Mahkamah Persekutuan putuskan syarat notis berhimpun tidak berperlembagaan
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan, sekali gus menghapuskan keperluan untuk penganjur memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa.
Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menjalani hari terakhir perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara sebelum bersara, mengetuai panel lima hakim dalam menyampaikan keputusan sebulat suara berhubung cabaran yang dikemukakan oleh bekas Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abdul Hadi.
Menurut Amir, kejayaan terhadap permohonannya sebelum ini untuk merujuk akta tersebut ke peringkat perundangan sebagai kemenangan untuk rakyat.
“Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman diputuskan hari ini di Mahkamah Persekutuan, tidak berperlembagaan dan ini adalah Kemenangan buat rakyat untuk berhimpun secara aman,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan Istana Negara hari ini.

Pada masa yang sama, Amir turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hari ini.
Baca juga : Hormat titah Agong: KPN ingatkan rakyat jangan sertai perhimpunan haram
Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.
Dia didakwa selaku penganjur gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang, 14 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








