Mahkamah benar Vivy, suami dapatkan pasport tunai umrah
KUALA LUMPUR – Mahkamah Seysen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsanya semula bagi menunaikan umrah.
Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad, yang membenarkan Vivy Sofinas, 36, dan Fadzaruddin Shah, 35, mendapatkan pasportnya buat sementara, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.
Terdahulu, Vivy dan suaminya yang diwakili peguam Ashok Athimulan memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya buat sementara untuk tujuan menunaikan umrah dan dijadualkan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari depan.
Pada 5 Disember lalu, Vivy dan Fadzaruddin Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lalu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda.
Hakim kemudian membenarkan Vivy dan Fadzaruddin masing-masing dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasangan itu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 22 Januari depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






