BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lima termasuk warga Bangladesh disyaki kemuka dokumen palsu direman SPRM

SHAH ALAM – Lima individu termasuk empat pengarah syarikat ditahan reman kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tujuan mendapatkan permit pekerja asing di negeri ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kelima-lima suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun termasuk seorang warganegara Bangladesh berjawatan pengarah itu ditahan antara jam 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, perintah reman selama empat hari dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret 2, di sini hari ini.

“Siasatan awal mendapati kelima-lima individu berkenaan disyaki mengemukakan dokumen permohonan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor yang mengandungi maklumat palsu bagi tujuan memperdayakan pihak berkuasa,” katanya.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2023 hingga 2024 melalui syarikat masing-masing.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan butiran palsu bagi memperdayakan agensi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, tiga lagi individu yang turut ditahan semalam dilepaskan atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan, dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang bersama dua orang penjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button