
Letupan paip gas: Polis siasat unsur jenayah, kecuaian
SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden letupan besar yang berlaku pada 1 April lalu di Putra Heights, yang mengakibatkan terbentuknya sebuah lubang besar sedalam lapan meter dengan kelebaran 70 meter.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu sidang media hari ini berkata, letupan tersebut dipercayai berpunca daripada kebocoran salah satu daripada tiga paip gas asli milik Petronas yang tertanam di lokasi kejadian.

Beliau memaklumkan bahawa sebuah pasukan teknikal telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menyiasat punca letupan.
“Pasukan ini terdiri daripada beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), I-Selangor serta Jabatan Mineral dan Geosains.
“Siasatan sedang dijalankan berdasarkan dua akta iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) dan Akta Polis. Satu siasatan teknikal diketuai oleh JKR negeri manakala siasatan lain oleh pihak polis bagi menentukan sama ada wujud elemen jenayah seperti perbuatan khianat atau kecuaian,” jelas beliau.
Menurut Hussein, siasatan awal mendapati terdapat kerja-kerja mengorek tanah dilakukan di kawasan berdekatan, dipercayai bagi menggantikan paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari pusat letupan.

“Polis telah mengenal pasti kontraktor, sub-kontraktor dan pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja itu. Dua jentera digunakan, iaitu sebuah backhoe dan sebuah escavator. Salah satu jentera iaitu escavator turut terbenam dalam lubang kesan letupan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerja-kerja korekan telah dihentikan pada 30 Mac, dua hari sebelum kejadian letupan.
“Persoalan sama ada aktiviti korekan tanah ini menjadi punca kepada letupan paip gas masih dalam siasatan lanjut.
“Kami perlu mendapatkan lebih banyak bukti fizikal di lokasi kejadian untuk merumuskan perkara tersebut,” ujar beliau.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |