BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lepasan SPM tertelan jarum peniti ketika pakai tudung

KAJANG – Seorang remaja perempuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Taman Kajang Impian di sini berdepan detik cemas apabila tertelan jarum peniti yang diletakkan di bibir ketika sedang memakai tudung.

Bapa mangsa yang berkongsi kejadian itu kepada Malaysia Tribune berkata, kejadian berlaku pada petang Khamis lalu ketika anak perempuannya sedang bersiap untuk keluar semula selepas mengambil keputusan SPM di sekolah.

Katanya, jarum peniti sepanjang kira-kira 2 inci yang diketip pada bibir itu tersedut ke dalam perut ketika dia bernafas menggunakan mulut kerana mengalami selesema.

“Anak saya sedang bersiap untuk keluar jumpa kawan, jadi seperti biasa dia ketip jarum di bibir semasa nak pakai tudung. Tapi sebab hidung tersumbat, dia bernafas ikut mulut… masa itulah jarum peniti tersedut masuk,” katanya.

Mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada bapanya sebelum mereka bergegas ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

“Selepas X-ray dilakukan, doktor sahkan ada sebatang jarum dalam perut anak saya. Beberapa prosedur dijelaskan oleh pihak hospital kepada saya termasuk kemungkinan kaedah pembedahan untuk mengeluarkan jarum.

“Bagaimanapun doktor mengharapkan jarum berkenaan akan keluar melalui najis,” katanya.

Gambar X-ray menunjukkan kedudukan jarum peniti di dalam perut seorang remaja berusia 18 tahun di Kajang, Selangor.

Mengimbas kembali kejadian itu, dia mengakui anaknya bernasib baik kerana jarum tersebut tidak mencucuk bahagian dalaman usus yang boleh mengakibatkan kecederaan lebih serius.

Katanya, selepas beberapa kali membuang air besar, keputusan X-ray mendapati jarum berkenaan sudah hilang dari abdomen perut anaknya.

“Syukur kepada Allah kerana semuanya dipermudahkan. Kejadian memang memberikan trauma kepada anak saya dan kami sekeluarga.

“Saya betul-betul tak sangka kemalangan seperti itu boleh berlaku. Semuanya kerana tabiat, walhal ia sesuatu yang sangat berbahaya.

“Semoga kejadian ini dapat menjadi pengajaran kepada kaum wanita di luar sana,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button