Lelaki warga India mati dibunuh, enam rakan senegara ditahan bantu siasatan
KUALA LUMPUR – Kematian seorang lelaki warga India yang juga pemegang status Pemastautin Tetap (PR) di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, malam semalam, membawa kepada penahanan enam individu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semua suspek yang ditahan merupakan rakan serumah kepada suspek utama, seorang lelaki warga India yang kini sedang diburu polis.
“Suspek utama sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya giat dijalankan.
“Setakat ini, polis turut merakam keterangan empat saksi, termasuk pengadu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut menemui rakaman yang dipercayai dapat membantu pihak polis dalam mengesan suspek dan mengetahui punca kejadian.
Mangsa yang berusia 49 tahun dan bekerja sebagai juruelektrik dilaporkan telah menetap di Malaysia selama hampir 19 tahun.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong kira-kira pukul 8.30 malam, semalam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






