Lelaki tempatan ditahan bersama dadah hampir 70kg
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dipercayai aktif sebagai pengedar dadah sejak setahun lalu diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati, di sini, pada Khamis lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 12.10 pagi dalam operasi yang dijalankan hasil risikan polis.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang berada di lokasi membawa kepada penemuan sebanyak 66 ketulan mampat ganja seberat 69.82 kilogram yang dianggarkan bernilai RM216,457.30,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai tokan dan telah aktif dalam kegiatan ini sejak November tahun lalu.
“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah.
“Namun, semakan lanjut menunjukkan lelaki itu mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah,” katanya.
Tambahnya, rampasan ganja tersebut dianggarkan mampu menjejaskan kesihatan seramai 139,640 individu sekiranya terlepas ke pasaran.
“Selain itu, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil, di mana sebuah motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM29,500 telah disita,” ujarnya.
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mat Zani berkata, usaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah narkotik diminta menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








