BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki rentung dipercayai dibunuh sebelum rumah dibakar

MANJUNG – Polis percaya seorang lelaki yang ditemui rentung dalam sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan di sini awal pagi tadi dibunuh oleh individu yang dikenali sebelum rumahnya dibakar.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah teres didiaminya.

Bagaimanapun katanya, siasatan awal mendapati ada saksi melihat seorang lelaki yang dikenali masuk ke rumah mangsa sebelum terdengar bunyi hentakan dari ruang tamu.

“Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran.

“Laporan mengenai kejadian kebakaran diterima dari pada pukul 2.39 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata, susulan maklumat itu, seorang suspek telah ditahan tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari hingga 1 Oktober depan untuk membantu siasatan.

“Bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05- 688 6222 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung di ruang tamu sebuah rumah, manakala tujuh ahli keluarga mangsa selamat.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button