
Lelaki pukul pengkid ganggu isteri didenda RM1,200
BATU PAHAT – Seorang lelaki didenda RM1,200 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini hari ini, atas tuduhan mencederakan wanita berperwatakan lelaki yang didakwa mengganggu isterinya.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Johan Misri, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 32 tahun di sebuah stesen minyak, Bandar Baru Ayer Hitam, di sini, pukul 9.50 malam, 16 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana oleh dipenjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa berada di hadapan stesen minyak terbabit, didatangi tertuduh yang kemudian memukulnya.
Siasatan mendapati, insiden itu berpunca apabila tertuduh berang dengan mangsa yang berperwatakan lelaki kerana kerap mengganggu isterinya.
Malah, tertuduh mendakwa ia bukan perkara baru sebaliknya sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu ketika mula-mula mendirikan rumah tangga.
Kemuncaknya apabila tertuduh hilang sabar lalu bertemu mangsa di lokasi kejadian sebelum melepaskan geram terhadapnya.
Laporan pemeriksaan perubatan mendapat mangsa cedera ringan di mulut lalu membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zulyati Awang.
Selain hukuman denda, mahkamah juga memerintah tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |