
Lelaki Nigeria tidak mengaku salah gigit telinga polis
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menggigit bahagian telinga kiri seorang koperal polis hingga terputus, minggu lalu.
Tertuduh, Okenyehike Kelvin Obianke, membuat pengakuan sedemikian setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret S.Mageswary.
“Saya tidak sengaja, saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Okenyehike, 31, yang juga penuntut sebuah kolej didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, di bahagian telinga kiri.
Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Metro Prima, Kepong di sini, pukul 10.10 pagi pada 25 April lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Majistret Mageswary kemudian menetapkan 10 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Okenyehike turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lim tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.
Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 pagi pada 26 April lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan itu, yang mana sekiranya dia disabitkan kesalahan, tertuduh itu boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 23 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwaraya Nur Farhana Mohamad Poad dan Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh yang tidak diikat jamin itu, tidak diwakili peguam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |