Lelaki khayal syabu ditahan selepas samun, ugutan bersenjata
ALOR GAJAH – Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis syabu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam beberapa insiden jenayah termasuk ugutan, samun dan rompakan kedai serbaneka di sekitar daerah ini sejak malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada pukul 11.39 malam daripada orang awam mengenai tindakan agresif suspek yang melakukan ugutan jenayah di sebuah pasar mini di Taman Mutiara.
“Siasatan mendapati suspek sama turut mencederakan dan menyamun seorang penunggang motosikal menggunakan pisau dalam kejadian berasingan pada pukul 3.53 pagi berhampiran sebuah stesen minyak di Kelemak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelas beliau, sebelum kejadian itu, suspek turut membaling batu ke arah pintu cermin stesen minyak terbabit serta mengacukan pisau ke arah petugas kaunter pada pukul 3.47 pagi.
“Kemudian, suspek melakukan satu lagi kes ugutan bersenjatakan parang dan menyamun sebuah kedai serbaneka di pekan Alor Gajah pada pukul 4 pagi,” tambahnya.
Susulan maklumat yang diterima, polis menjalankan Ops Kesan dan berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di Kelemak pada pukul 11.15 pagi semalam.
Turut dirampas ialah beberapa senjata dipercayai digunakan semasa kejadian.
Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu tinggal bersama ahli keluarganya dan mempunyai rekod penyakit mental, selain tidak mengambil ubat rawatannya sejak seminggu lalu.
“Semakan lanjut juga mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah serta enam lagi membabitkan kes narkotik. Ujian air kencing turut mengesahkan dia positif methamphetamine,” katanya.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 392 dan 394 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








