BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Empat lelaki bergaduh dipercayai berebut teman wanita

SHAH ALAM – Cemburu apabila teman wanita keluar dengan seorang pemuda lebih muda dipercayai menjadi punca empat lelaki termasuk seorang warga emas bergaduh di tepi jalan di Bandar Setia Alam, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3.51 petang, pada hari yang sama.

“Siasatan mendapati pergaduhan itu melibatkan empat lelaki dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat perebutan teman wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, insiden yang berlaku di Jalan Setia Y U13/Y itu turut dirakam orang awam sebelum video pergaduhan berkenaan tular di media sosial.

Mohd Iqbal berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan dua lelaki berumur 69 dan 44 tahun di perkarangan IPD Shah Alam pada pukul 10 malam.

“Dengan dipandu arah kedua-dua suspek, polis merampas sebarang kayu berukuran kira-kira 91 sentimeter di tepi Jalan Setia Alam U13/Y, yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

“Kita juga menahan seorang lagi suspek berumur 22 tahun di Lebuh Dato Tahir, Taman Kapar, pada malam sama, manakala seorang lagi suspek masih diburu bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan rusuhan menggunakan senjata, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Iqbal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button