Lelaki ditahan khianat kereta guna rotan di Lebuh Pantai
GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian khianat terhadap sebuah kenderaan menggunakan sebatang rotan di Jalan Lebuh Pantai di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, suspek diberkas di tepi jalan Persiaran Karpal Singh pada pukul 10.15 malam tadi.
“Penahanan itu membolehkan polis menyelesaikan kes dalam masa singkat. Sebuah kereta dan sebatang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek kini direman selama sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang, Jumaat lalu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas mendakwa kereta dipandunya dilanggar sebuah Perodua Myvi yang dinaiki suspek.
“Suspek kemudian bertindak keluar dari kenderaan dan dipercayai mengambil batang besi sebelum memukul bahagian pintu belakang kereta pengadu,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM3,000 disebabkan kerosakan pada kenderaan.
Video kejadian terbabit turut tular di media sosial sejak semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



