JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan, disyaki lontar molotov coctail

MELAKA – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melempar bom petrol ke atas sebuah kereta di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki itu dipercayai menjadi ‘orang suruhan’ sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘ah long’ berpangkalan di Singapura.

Suspek berusia 25 tahun itu disyaki berbuat demikian dengan upah RM1,000 untuk setiap tugasan dan setakat ini disyaki terbabit dalam dua kes iaitu di negeri ini dan di Sitiawan, Perak membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

“Suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 9 pagi semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka,” kata Zainol dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, penahanan suspek dilakukan hasil risikan susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 38 tahun pada 6 Jun lalu selepas kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Mengkuang, terbakar akibat dibaling dengan bom petrol.

Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada hutang along kerana sebelum ini keluarga pengadu pernah diganggu oleh sindiket terbabit.

“Pemilik rumah memberitahu anak lelakinya yang berkerja di Singapura ada meminjamkan akaun bank miliknya kepada rakan bagi meminjam sejumlah wang along.

“Namun rakannya itu melarikan diri menyebabkan sindiket mencari anak lelaki pengadu dan turut meninggalkan notis memberitahu akan membakar rumah dan kereta.

“Suspek turut menyatakan akan mencari keluarga terbabit serta meminta menghubungi nombor telefon luar negara,” katanya lagi.

Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button