
Lelaki didakwa bunuh peniaga COD sambal dituduh di mahkamah
KUANTAN – Seorang lelaki hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga wanita pada 12 Februari lalu.
Tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh membunuh Norshamira Zainal, 37, di kawasan jeti Sungai Kuantan, di Jalan Padang Lalang, di sini, antara pukul 7.30 dan 8.30 malam.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara hingga 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya B. Deevagaran Naidu.
Bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula sebelum kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang peniaga wanita ditemukan maut di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, selepas melakukan penghantaran sambal bilis ditempah tertuduh.
Tertuduh ditahan 15 Februari lalu di sebuah rumah di Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
Susulan penahanan lelaki terbabit, polis menemukan semula cincin mangsa yang dilaporkan hilang dan merampas gelang emas di sebuah kedai pajak di Kuala Terengganu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |