BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 1,000 kg LPG bersubsidi dirampas dalam serbuan di Puchong

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup lebih 1,000 kilogram LPG bersubsidi menggunakan lori ‘bonded’ di kawasan industri Puchong malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek, memaklumkan serbuan dijalankan sekitar pukul 11 malam itu menemukan dua lelaki warga asing berumur sekitar 45 tahun yang sedang melakukan pemindahan LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram ke dalam tong gas komersial berkapasiti 50 kilogram.

“Hasil pemeriksaan turut menjumpai peralatan seperti hos penyambung dan tong ais yang dipercayai digunakan sebagai kaedah pemindahan gas secara tidak sah.

“Tindakan sindiket ini dipercayai bertujuan menjual LPG bersubsidi tersebut kepada sektor industri pada harga lebih rendah daripada pasaran, sekaligus menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Kesemua barangan yang dirampas disimpan di bawah kawalan pengurusan stor ekshibit KPDN Selangor bagi tujuan siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN Selangor sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti individu dan rangkaian pengedaran yang terlibat.

“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara tiga tahun bagi kesalahan berulang.

“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berulang,” tambahnya.

Tindakan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan subsidi LPG diagihkan secara adil dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button