
Kontroversi konsert Pinkfish: Polis tahan tiga pengedar dadah
PETALING JAYA – Polis Selangor menahan tiga pengedar dadah susulan kematian empat pengunjung konsert PinkFish di Subang Jaya, dekat sini 31 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Selangor pada 8 hingga 12 Januari lalu, dengan salah seorang daripadanya disahkan berada di lokasi konsert pada hari kejadian.
Beliau menambah, laporan Jabatan Kimia mengesahkan sampel darah kesemua si mati dan tiga lagi pengunjung yang cedera mengandungi dadah.
“Tujuh individu termasuk empat yang meninggal dunia, kandungan darah masing-masing dikesan mengandungi kandungan dadah jenis MDMA atau pil ekstasi. Polis percaya pil itu dibeli dari luar dan ada juga dibeli dalam konsert terbabit.
“Polis hampir menyelesaikan siasatan kes itu. Ketiga-tiga pengedar dadah skala kecil ketika konsert dengan penjualan secara individu termasuk seorang itu yang berada ketika konsert berlangsung,” katanya.
Hussein berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2,Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini hari ini.
Beliau kemudiannya berkata, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melarang penganjuran konsert tetapi akan mengetatkan syarat dari segi muzik, jumlah pengunjung, tempat penganjuran, keluasan tempat dan kesediaan penganjur menyediakan pasukan ‘first aid’.
“Penganjur juga perlu maklumkan hospital yang berhampiran dan paling penting polis akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak dan membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran di dalam konsert,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |