JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Syed Saddiq: SPRM akan fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah dimaklumkan lebih awal oleh pihak pendakwa raya bahawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetap akan dibuat, tidak kira apa jua keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak pendakwa bahawa mereka akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Pendirian mereka ialah walaupun keputusan berbeza dibuat hari ini, rayuan tetap akan diteruskan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Azam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perasaan peribadi terhadap mana-mana individu yang disiasat oleh agensi itu.

“Saya tidak rasa kecewa atau gembira bila menyiasat mana-mana kes. Ia hanyalah tugas,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Syed Saddiq selepas mendapati berlaku kesilapan serius oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika menjatuhkan keputusan.

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Datuk Noorin Badaruddin, mahkamah mendapati tiada unsur niat jahat apabila bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengarahkan pengeluaran wang daripada akaun Armada, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut berkata, hakim perbicaraan terdahulu gagal mengambil kira prosedur yang sepatutnya, dan menerima pakai keterangan saksi yang didakwa diberi di bawah tekanan semasa siasatan oleh SPRM.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Syed Saddiq dibebaskan daripada empat pertuduhan yang dikaitkan dengan penyelewengan dana Armada ketika memegang jawatan sebagai Ketua Armada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button