JENAYAH & MAHKAMAH

Kes peniaga belon, polis tunggu arahan AGC

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes seorang peniaga belon yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 28 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 186, Seksyen 325, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, terdapat dua tangkapan dilakukan.

“Bagaimanapun, kes ini masih belum mempunyai keputusan. Seorang suspek tidak direman kerana menghidap masalah jantung yang serius, manakala seorang lagi suspek direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Datuk Rusdi berkata, pihaknya masih juga menunggu laporan perubatan penuh bagi menentukan tindakan selanjutnya.

“Laporan penuh perubatan masih belum diperoleh. Namun, jika ada keterangan daripada doktor bagi laporan awal, itu sudah memadai untuk membuat pertimbangan.

“Laporan perubatan mengambil masa tertentu untuk disiapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.

Laporan media sebelum ini menyebut, pihak polis masih menunggu laporan perubatan penuh dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, berhubung kecederaan yang dialami oleh peniaga belon terbabit.

Bagaimanapun, laporan awal yang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan keretakan pada tulang belakang, sudah diterima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button