Kes Pamela Ling tiada kaitan ahli politik
KUALA LUMPUR – Polis tidak menemukan sebarang kaitan antara kehilangan Datin Seri Pamela Ling dengan mana-mana ahli politik.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan setakat ini tidak menemukan elemen berkenaan.
“Setakat ini, kita tidak nampak sebarang elemen yang menjurus ke arah itu (pembabitan ahli politik) dan berdasarkan keterangan yang telah diambil, tiada yang menunjukkan ke arah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media di Bukit Aman pada Isnin.
Rusdi kemudiannya memberitahu, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan 47 individu termasuk tiga anak Pamela.
“Kita telah mengambil keterangan tiga anaknya dan rakan wanita berkenaan di Ibu Pejabat Polis Woodlands, Singapura.
“Kita dapati kali terakhir anak mangsa berhubung dengan Pamela adalah sebelum kejadian kehilangan. Selepas itu, tiada lagi komunikasi,” katanya lagi.
Ketika diminta mengulas mengenai sebab permohonan reman terhadap suami Pamela ditolak sebelum ini, Rusdi menjelaskan mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk menahan reman kerana individu terbabit boleh dipanggil pada bila-bila masa dan peguam juga telah memberi jaminan kerjasama.
Kehilangan Pamela sejak 9 April lalu mencetuskan tanda tanya setelah dia didakwa diculik ketika sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







