
Kes kebun durian haram: Ahli Parlimen Raub, Pengerusi SAMKA ditahan polis
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang ditahan polis hari ini.
Perkara itu disahkan menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
“Peguam mengesahkan bahawa beliau ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya,” katanya hari ini.
Terdahulu, wakil rakyat DAP itu hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bersama Chang kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani peguam masing-masing.
Difahamkan, kehadiran mereka berkaitan siasatan kejadian semasa pelaksanaan operasi khas yang bertujuan membanteras pencerobohan tanah membabitkan kumpulan pekebun durian ‘Musang King’ di daerah ini.
Semalam, pihak polis mengesahkan Yu Hui bersama empat individu lain akan dipanggil untuk memberi keterangan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam ketika ‘Op Sekat 3.0’.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kerajaan Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |