JENAYAH & MAHKAMAH

Kes bunuh peniaga COD, polis cari lelaki disyaki suspek utama

KUANTAN – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa yang juga ibu kepada seorang anak lelaki, lapor BERNAMA.

“Suspek didapati pernah membuat pesanan makanan dengan mangsa dan bertemu di lokasi kejadian.

“Siasatan turut mendapati barang kemas wanita itu hilang selain terdapat kesan kecederaan di badan mangsa,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Yahya berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Semalam, jasad seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini.

Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati, terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Yusri Othman dilantik Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang menggantikan Datuk Noor Hisam Nordin yang dilantik sebagai Ketua Polis Perak.

Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan Operasi) Pahang ACP Mohd Faudzi Abd Rahman pula dilantik Pemangku Ketua Cawangan Khas Pahang menggantikan Datuk Mohammad Shaharul Md Osman yang akan menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button