
Kes bunuh : Hukaman mati terhadap IO dikekalkan
PUTRAJAYA – Hukuman mati terhadap bekas pegawai penyiasat polis, Ahmad Rizal Umar, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan berikutan pembunuhan kejam terhadap teman wanitanya, Kartini Borhan, 14 tahun lalu.
Keputusan itu bertujuan memberi mesej tegas kepada anggota polis tentang tanggungjawab mereka menegakkan undang-undang.
Dalam penghakiman bertulis setebal 37 muka surat yang dikeluarkan minggu ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Wong Kian Kheong menegaskan bahawa perbuatan tertuduh merupakan satu pengkhianatan terhadap sumpah jawatannya di bawah Seksyen 13 Akta Polis 1967.
“Dengan membunuh si mati, perayu mencabuli ikrar untuk mematuhi dan menegakkan undang-undang,” katanya memetik laporan FMT.
Mahkamah turut memutuskan untuk mengekalkan hukuman mati atas faktor kepentingan awam.
Ahmad Rizal, 43, yang berpangkat inspektor ketika kejadian, disabitkan kesalahan membunuh Kartini, 27, di sebuah pangsapuri di Taman Andika, Keningau, Sabah antara pukul 4 hingga 5 pagi pada 29 September 2011.
Rayuannya ditolak oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Supang Lian, bersama Hakim Wong dan Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam prosiding di Kota Kinabalu pada September lalu.
Rizal kini masih mempunyai satu peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Mengikut fakta kes, Rizal menikam mangsa dengan pisau, menyebabkan 10 kecederaan termasuk dua luka tikaman utama.
Beliau kemudian cuba menutup jenayah itu dengan mendakwa kejadian berpunca daripada rompakan dan turut membuat laporan polis palsu.
Hakim Wong turut menyatakan bahawa Rizal menggunakan kepakaran sebagai pegawai penyiasat bagi mencipta naratif palsu, termasuk mencederakan dirinya bagi menyokong dakwaan serangan perompak.
Namun, hasil siasatan pakar patologi forensik mendapati kesan kecederaan pada Rizal tidak selari dengan situasi pergaduhan sebenar.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada cemburu apabila Kartini dikatakan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Peguam bela, Ram Singh yang dibantu Chen Wen Jye, memohon agar hukuman diringankan memandangkan ini merupakan kesalahan pertama Rizal, selain faktor dia mempunyai dua anak.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari memohon agar hukuman mati dikekalkan, menekankan kekejaman tertuduh serta kedudukannya sebagai penguat kuasa undang-undang yang menyalahgunakan kuasa untuk melakukan jenayah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |