JENAYAH & MAHKAMAH

Kes buli jalan raya, suspek belasah warga emas ditahan

CYBERJAYA – Polis telah menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul seorang warga emas dalam kejadian kes buli jalan raya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff (gambar) berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang.

“Permohonan reman ke atas suspek sudah dibuat di Mahkamah Majistret Sepang, dan dia akan direman bermula hari ini hingga Jumaat,” kata Wan Kamarul Azran dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, suspek yang bekerja sendiri mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Kata Wan Kamarul Azran, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga emas berusia 73 tahun pada 30 Januari lalu bahawa dia dipukul seorang lelaki di hadapan sebuah klinik swasta di Taman Tasik Puchong Prima, dekat sini.

Ketika kejadian, pengadu sedang memandu dari arah Brickfields ke Putra Perdana untuk bertemu seorang rakannya.

Bagaimanapun, dia kemudiannya ditahan suspek ketika berada di Puchong Prima lalu dipukul kerana dikatakan tidak memberi lampu isyarat ketika membelok di simpang jalan.

Menurut keterangan pengadu, suspek turut mengeluarkan perkataan kesat ‘engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal’ lalu memukul di bahagian muka, kepala dan rusuk mangsa.

“Selepas meneruskan perjalanan, suspek terus mengekori mangsa dan ketika tiba di hadapan kedai bakeri di Putra Perdana kira-kira satu kilometer dari lokasi sebelumnya kenderaan mangsa telah disekat dan suspek sekali lagi menarik mangsa keluar dari kenderaan lalu menumbuk di bahagian mata dan menendang badan mangsa bertubi-tubi,” kata Wan Kamarul Azran.

Hasil pemeriksaan mendapati, pengadu mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala, lebam mata kiri dan patah tulang pipi kiri serta patah tulang mata kiri.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada balai berdekatan atau menghubungi IPD Sepang di talian 03- 8774222 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button