
Kes amang seksual: PU Azman dipenjara tujuh tahun, dua sebatan
SEREMBAN – Penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur.
Hakim Datuk Surita Budin turut memerintahkan tertuduh, 43, menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, PU Azman melakukan perbuatan itu terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai, antara pukul 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.
Hukuman itu dijatuhkan selepas Azman mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan dalam prosiding hari ini, lapor Buletin TV3.
Peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad, dalam rayuan memohon hukuman minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf, memohon ampun, dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
“Tertuduh telah dipenjara sejak 27 September lalu dan kini menjalani hukuman atas kes di Mahkamah Klang. Beliau memohon hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh jaminan, iaitu 9 Oktober,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi berkata, pengakuan salah tertuduh bukan faktor peringanan dan memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat.
“Tertuduh adalah pendakwah selebriti. Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya dilakukan, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak,” katanya.
Pada 27 September lalu, PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melibatkan dua mangsa, sebelum mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan pindaan hari ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |