
Kes 1MDB: Roger Ng akan beri keterangan sebagai saksi pembelaan esok
PUTRAJAYA – Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan muncul di Mahkamah Tinggi esok bagi memberi keterangan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Roger akan memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan, lapor BH Online.
“Berdasarkan kepada perkembangan terbaru menerusi temubual terhadap Roger pada tengah hari, kami mohon memulakan prosiding perbicaraan esok pagi,” katanya.
Terdahulu sebelum mahkamah berhenti rehat, Sequerah memutuskan Roger boleh memberi keterangan dalam perbicaran kes itu.
Sequerah membuat keputusan membenarkan Roger hadir sebagai saksi , selepas mendapati Mahkamah Tinggi terikat dan tertakluk kepada bidang kuasanya sendiri, dan tidak boleh tertakluk kepada mana-mana bidang kuasa asing.
Saksi itu akan memberikan keterangan pada prosiding membabitkan Najib yang juga bekas perdana menteri yang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Sebelum ini, Roger dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York pada tahun 2023, selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.
Ketika itu, Ketua Hakim Margo Brodie memerintahkan Roger diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk dikembalikan di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.
Menurut surat daripada Jabatan Kehakiman AS (DoJ) kepada Brodie, sebaik siasatan di Malaysia selesai, lelaki itu dikehendaki dibawa kembali ke AS untuk menjalani hukumannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |