
Kes 1MDB: Najib diarah bela diri 21 pertuduhan pengubahan wang haram
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Memetik laporan BH Online, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Selepas diberikan tiga pilihan untuk membela diri, Najib turut memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Keputusan tersebut dibuat selepas 12 hari penghujahan lisan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, yang bermula pada 19 Ogos dan berakhir pada 3 Oktober lalu.
Pendakwaan menutup kesnya terhadap Najib pada 30 Mei, dengan lebih daripada 50 saksi memberikan keterangan dalam tempoh lima tahun yang lalu, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
Najib, 71, didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 (US$2,290), yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |