Pelajar rugi RM80,000 akibat kerjasama gagal, hampir 50 individu terjejas
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar universiti mendakwa mengalami kerugian mencecah lebih RM80,000 selepas kerjasama yang dimeterai dengan sebuah syarikat besar gagal, sehingga menjejaskan hampir 50 individu termasuk penyewa dan pemilik rumah.
Pelajar terbabit, yang mahu dikenali sebagai Teow berkata, kerjasama bermula pada 1 Ogos 2024 dengan harapan untuk menyenaraikan syarikat secara bersama di pasaran.
Namun, pada 10 Disember 2024, beliau menerima surat penamatan tanpa sebarang notis awal daripada pihak syarikat.
“Saya serahkan segala dokumen penting termasuk maklumat pelanggan, penyata bank dan penyata pendapatan kepada syarikat tersebut.
“Tapi selepas penamatan, saya bukan saja tidak menerima gaji Disember dan komisen dari Ogos hingga Disember, malah penyewa yang sebelum ini membayar kepada saya diarahkan membayar terus kepada pihak syarikat,” katanya dalam sidang media anjuran Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kepong.
Lebih mengecewakan, menurut Teow, syarikat berkenaan enggan memulangkan wang sewa kepada pemilik rumah dan mendakwa wang tersebut digunakan untuk menampung kerugian syarikat.
“Mereka kata saya perlu tanggung kerugian itu secara peribadi. Saya dah buat laporan polis dan cuba adakan rundingan, tapi tiada hasil.
“Ada penyewa yang hampir dihalau, jadi saya terpaksa guna duit sendiri untuk bantu mereka,” katanya lagi.
Teow menganggarkan kerugian peribadi antara RM20,000 hingga RM30,000, namun menegaskan fokusnya kini adalah memastikan penyewa dan pemilik rumah yang lain mendapat kembali wang mereka yang keseluruhannya dianggarkan mencecah RM50,000.
“Saya sudah cuba hubungi pihak bertanggungjawab termasuk semasa sidang media, tetapi panggilan saya tidak dijawab. Saya tampil kepada media kerana tiada pilihan lain,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua DAPSY Kepong, Jefferson Chia menasihatkan para peniaga dalam sektor penyewaan supaya lebih berhati-hati dengan syarikat besar yang tidak bertanggungjawab.
“Kami akan terus memantau kes ini bersama pasukan peguam. Ini bukan hanya soal kerugian wang, tetapi kepercayaan dan nasib hampir 50 individu yang kini terkesan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







