
Kereta terbabas dari tingkat tiga, pekerja cuci kereta cedera parah
KUALA LUMPUR – Seorang pencuci kenderaan cedera parah apabila kereta pelanggan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam dari ruang parkir tingkat tiga sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, petang semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 5.38 petang membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Camry.
“Mangsa dipercayai sedang mengalihkan kenderaan tersebut selepas selesai mencucinya sebelum tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kereta itu meluncur laju dan merempuh pagar besi penghadang.
“Impak pelanggaran menyebabkan kereta berkenaan terjatuh dari aras ketiga dan menghempap dua kenderaan lain yang diletakkan di aras bawah, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi.
“Kedua-dua pemilik kenderaan tersebut tidak berada di dalam kereta sewaktu kejadian dan tiada kecederaan lain dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa, warga Afghanistan, 23, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |