
Keratan mayat sembilan pelajar ditemui di tepi Lebuh Raya Mexico
MEXICO – Beberapa keratan mayat dipercayai milik sembilan pelajar yang dilaporkan hilang ketika keluar melancong ditemui di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi Lebuh Raya Cuacnopalan-Oaxaca, berhampiran San José Miahuatlán, dua hari lalu.
Laporan berita El Financiero berkata, pihak berkuasa berjaya mengenal pasti lapan daripada sembilan mangsa yang dilaporkan hilang sebagai Angie Lizeth Perez Garcia, 29; Lesly Noya Trejo, 21; Brenda Mariel, 19; Jacqueline Ailet, 23; Noemi Yamileth, 28; Raul Emmanuel, 28; Ruben Antonio dan Rolando Armando.
Dua daripada mangsa pertama yang dikenal pasti iaitu Lizeth Perez Garcia dan Lesly Noya Trejo adalah pelajar yang dilaporkan hilang di Oaxaca pada 28 Februari lalu.

Ketua Pejabat Peguam Negara Puebla, Idamis Pastor Betancourt berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan tidak boleh mendedahkan butiran lanjut atas faktor kerahsiaan.
Sembilan mangsa ditemui di dalam sebuah kereta sedan jenis Volkswagen berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran Tlaxcala.

Empat mangsa ditemui di dalam but, lima di dalam plastik yang berlumuran darah dan lapan pasang tangan ditemui dalam beg.
Pihak berkuasa mempercayai mangsa dibunuh di dalam kenderaan yang sama berdasarkan kesan darah.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang pada hari yang sama iaitu Jacqueline Ailet Meza dilaporkan masih belum ditemui.
Ibunya berkata, anak perempuannya dilarikan tanpa ada apa-apa perkembangan tentangnya.
“Jacqueline mempunyai dua anak kecil berusia 5 dan 3 tahun yang sedang menunggunya,” katanya memetik laporan People.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |