
Keluarga ‘Abang Belon’ sudah buat laporan – Polis
KUALA LUMPUR – Pihak polis mengesahkan sudah meneria laporan daripada keluarga ‘Abang Belon’ susulan dakwaan dia dikasari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), kelmarin.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pihaknya telah merekodkan keterangan lima individu berkenaan insiden berkenaan.
“Lima keterangan direkodkan setakat ini membabitkan empat penguat kuasa DBKL serta penjaja belon terbabit.
“Laporan polis telah diterima daripada kedua pihak iaitu DBKL dan juga yang terbaru daripada keluarga peniaga belon yang terlibat dalam kekecohan berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Setakat ini, katanya, tindakan dijalankan hanya melibatkan proses rakaman percakapan lima individu yang berada ketika kejadian, dan tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Pihak kami sedang melengkapkan siasatan menerusi keterangan saksi terutamanya saksi bebas serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes sedang disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya lagi.
Oleh kerana siasatan masih berjalan, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian terbabit.
“Polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |