
PUTRAJAYA – Seramai 10 orang warga asing ditahan kerana menjalankan khidmat kawalan keselamatan tanpa permit kerja sebagai pengawal keselamatan yang sah.
Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof, kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan perumahan sekitar Lembah Klang, semalam.
“Dalam operasi ini, sebanyak tujuh kawasan perumahan diserbu setelah dikenalpasti menggunakan khidmat pengawal keselamatan asing hasil daripada risikan oleh anggota penguatkuasa PK KDN,” kata Nik Yusaimi dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara warga asing yang bertugas sebagai pengawal keselamatan yang ditahan dalam operasi ini adalah warga Pakistan, India, Sri Lanka dan Nepal.
Jelas Nik Yusaimi, hanya warganegara Malaysia yang telah lulus tapisan keselamatan dan warganegara Nepal yang mempunyai permit kerja sebagai pengawal keselamatan sahaja dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan 2 Tahun 2006 Akta Agensi Persendirian 1971.
Dalam masa yang sama, sebanyak empat syarikat kawalan keselamatan dikenalpasti terlibat dalam pelanggaran ini dan proses siasatan sedang dijalankan untuk tindakan tegas.
Syarikat kawalan keselamatan yang terlibat boleh dikenakan tindakan sehingga dibatalkan lesen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat pas atau permit yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat pengawal keselamatan daripada syarikat kawalan keselamatan perlu memastikan syarikat tersebut berdaftar dengan KDN.
“KDN akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras pelanggaran Akta Agensi Persendirian 1971,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pengawal keselamatan haram turut boleh menyalurkan aduan menerusi talian 03-8000 8000/8889 3145, emel aduanpk@moha.gov.my atau melalui laman web.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






