KBS tidak kompromi kes buli di IKBN Miri
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap kes buli yang berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, kementerian memandang serius insiden itu dan menjamin keselamatan serta kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
“Pelaku sudah dikenal pasti, SOP telah diaktifkan, keluarga telah ditemui dan dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“KBS beri jaminan keselamatan, kebajikan dan maruah pelajar di institusi kami sentiasa menjadi keutamaan kementerian,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.
Dalam kenyataan rasmi, KBS memaklumkan kejadian berkenaan berlaku pada 19 September lalu sekitar jam 4.30 petang di IKBN Miri, namun hanya dilaporkan selepas video tersebut tersebar di media sosial pada 22 September.
Menurut kenyataan itu, pihak institusi segera menjalankan siasatan dalaman selain bekerjasama rapat dengan PDRM untuk memastikan tindakan susulan dapat diambil.
“KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia bukan sekadar salah laku individu, tetapi ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat. Tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau dibuang institusi akan diambil terhadap pelaku,” jelas kenyataan itu lagi.
KBS turut menegaskan tiada ruang untuk menganggap kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di ILKBS, dan pihak kementerian komited memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








