
Kanak-kanak warga Singapura maut dirempuh pemandu lori ambil dadah
JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun maut selepas kenderaan dinaiki bersama empat yang lain dirempuh sebuah lori yang terbabas di Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.34 malam, membabitkan lima mangsa berusia antara dua hingga 44 tahun, termasuk seorang pembantu rumah warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, akibat hentaman kuat, kanak-kanak itu tercampak keluar dari kenderaan sebelum dikejarkan ke hospital swasta. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan pada pukul 3 pagi.
“Empat lagi mangsa, termasuk ibu bapa mangsa, seorang adik serta pembantu rumah mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan,” katanya.
Raub turut mengesahkan bahawa ujian air kencing mendapati pemandu lori berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Lelaki itu kini ditahan dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 44(1), Seksyen 26(1), Seksyen 56(1), dan Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, dia juga disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan tidak memandu di bawah pengaruh bahan terlarang bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |