Kanak-kanak tiga tahun lemas dalam kolam renang inap desa
BAYAN LEPAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah Inap Desa di Teluk Kumbar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati bapa mangsa berusia 46 tahun membawa tiga anak termasuk anak bonsunya itu ke inap desa berkenaan bagi bertemu kenalannya yang datang dari Kuala Lumpur.
Ibu mangsa, bagaimanapun, tidak bersama mereka kerana sedang bekerja sebagai operator kilang.
“Rakan bapa mangsa hanya menyedari kanak-kanak terbabit tiada dalam bilik kira-kira pukul 10.15 malam.
“Mereka bergegas mencari mangsa, dan menemukannya terapung di kolam mandi inap desa itu dalam tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, mangsa dihantar ke hospital sebelum doktor mengesahkan kematiannya.
Tambahnya, bedah siasat sudah dilakukan di Unit Perubatan Forensik Hospital Balik Pulau pukul 10 pagi tadi.
“Hasil laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa adalah berpunca daripada lemas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







