
Kanak-kanak 5 tahun maut dalam van sekolah, pemandu ditahan bantu siasatan
ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang pemandu van bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam sebuah van sekolah, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di sekitar Taman Bukit Indah, kira-kira pukul 2.40 petang semalam.
“Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan,” katanya.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan maut dipercayai akibat tertinggal dalam van sekolah itu selama lebih empat jam.
Mangsa yang bersekolah di sebuah tadika dekat Taman Bukit Indah di sini, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari.
Tambahnya, jasad mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk proses bedah siasat.
“Mangsa dipercayai tertinggal di dalam van sekolah itu ketika pemandu menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika pada hari sama, kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kesalahan pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak,” kata Kumarasan lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |